KUALA LUMPUR – Nasib golongan kartunis tanah air semakin terbela apabila kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah memperuntukkan geran berjumlah RM5 juta buat golongan itu baru-baru ini.
Dana yang diperuntukkan menerusi Dana Pembangunan Industri Kreatif itu disalurkan kepada golongan kartunis yang bernaung di bawah Konsortium Cartoonist At Work (CAW) seperti yang diumumkan menerusi Pengerusi Kraftangan Malaysia, Datuk Sohaimi Shahadan semalam.
Menurut Sohaimi yang juga Pengerusi Biro Ekonomi Pemuda UMNO itu, dana tersebut sebagai permulaan akan diagihkan kepada 10 syarikat produksi yang mewakili 10 kartunis terkenal tempatan antaranya Taugeh, Cikli, Aloy, Aan Budak Baik, Kunyit dan Soya.
“Dana RM5 juta itu akan diagih-agihkan kepada 10 syarikat terbabit bagi mereka menerbitkan produk-produk kartun untuk siaran televisyen. Ini salah satu usaha kerajaan bagi membantu golongan kartunis lebih berdaya saing selain mengembangkan lagi produk mereka.
“Golongan ini adalah perintis dan kami akan memastikan usaha mereka berkarya akan terus berkembang. Setakat ini, lima produk berbentuk animasi sedang dan ada yang telah disiapkan di mana ia akan siap sepenuhnya pada tahun 2013,” katanya kepada para pemberita semalam.
Dengan peruntukkan itu, antara produk animasi yang sedang dalam pembikinan terbitan ahli-ahli Konsortium CAW terbabit antaranya berjudul Raja Pahat, Aqal & Walid, Aku Budak Felda, Tuah, Harimau Malaysia dan Tanya Prof. Din yang bakal disiarkan menerusi saluran TV RTM kelak. – BERNAMA
# Sumber : mynewshub
No comments:
Post a Comment