:: CUTE gift & GREAT souvenir, click here.. ::

19.12.11

2 pusat pemindahan banjir di Johor

JOHOR BAHARU: Dua buah pusat pemindahan banjir dibuka di Kluang malam semalam apabila 144 penduduk dipindahkan berikutan banjir di daerah tersebut.

Pusat tersebut ialah SK Kampung Mengkibol yang menempatkan 101 mangsa dan SJKC Ping Ming yang menempatkan 43 mangsa banjir.

"Seramai 350 penduduk di lima buah kampung Orang Asli di Kahang juga telah terputus hubungan apabila jalan ke kampung tersebut tidak dapat dilalui," kata petugas di bilik gerakan banjir Kluang, Ishak Atan ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Menurut beliau bilik gerakan banjir daerah tersebut belum dibuka secara rasmi namun pihak berwajib sudah mulai menggerakkan jentera masing-masing bagi membantu mangsa yang terlibat.

Mangsa banjir mulai berpindah semalam apabila paras air Sungai Mengkibol naik ke tahap 25.99 meter berbanding tahap bahaya 25.46 meter berikutan hujan berterusan.

Menurut laman Public InfoBanjir milik Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, seramai enam mangsa banjir dari Kampung Parit Haji Kamisan di Ladang Chaah, Batu Pahat dipindahkan semalam.

Mereka dipindahkan ke balai raya kampung tersebut apabila air Sungai Lenik meningkat kepada 6.63 meter, melebihi aras bahaya 6 meter.

Aras air Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat juga telah melebihi paras normal 18.95 meter apabila mencatat kenaikan kepada 19.85 meter.

Aras air Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat juga telah meningkat dari 7.92 meter kepada 8.55 meter.

Orang ramai di kedua-dua kawasan tersebut dinasihat agar berjaga-jaga dengan kemungkinan aras air sungai akan meningkat.



# Sumber : mStar

No comments:

:: Blogger