:: CUTE gift & GREAT souvenir, click here.. ::

24.8.11

Isu tukar meter

TNB Beri Penjelasan Isu Penukaran Meter, Kecurian Elektrik


KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) pada Selasa menjelaskan peningkatan mendadak bil elektrik para pengguna seperti yang dilaporkan media akhir-akhir ini adalah disebabkan berlakunya kes pengusikan meter oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

TNB dalam satu kenyataan berkata laporan media kononnya berlaku kesilapan pembilan oleh TNB selepas penukaran meter baru dibuat sebenarnya adalah tidak tepat.

"Kami ingin menjelaskan, 15 daripada 19 laporan mengenai bil ke belakang yang tinggi seperti dilaporkan media (Januari-Julai 2011) adalah kes-kes di mana kami mempunyai bukti kukuh untuk mempercayai wujudnya pengusikan meter dan kebanyakan kes-kes yang dilaporkan melibatkan pesalah berulang," katanya.

Rekod TNB juga menunjukkan penglibatan pengguna komersil dalam kebanyakan kes kecurian itu, sekaligus memberi impak kehilangan hasil kepada TNB dan turut menjejaskan pengguna yang jujur.

TNB juga memaklumkan bahawa ia tidak pernah menyokong mana-mana produk atau peralatan yang mengganggu bacaan meter dan sebarang penglibatan dalam perkara ini boleh dianggap sebagai mencuri elektrik.

"Mungkin terdapat pengguna yang menjadi mangsa atau terpedaya dengan tarikan bil elektrik yang murah tanpa menyedari sepenuhnya mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990," kata kenyataan itu.

TNB berkata bagi kes yang terbukti melibatkan kecurian elektrik, ia akan menghantar bil penggunaan terdahulu yang tidak dibayar.

Bagi kes sedemikian, pengiraan bil ke belakang dibuat dengan memantau corak penggunaan pemilik akaun bagi tempoh tertentu untuk menentukan waktu di mana kejatuhan mendadak dalam penggunaan dicatat.

"Pengguna yang mempunyai bukti mengesahkan alasan bagi penggunaan yang kekal rendah dialu-alukan untuk berbincang dengan TNB, dan jika terbukti sah menunjukkan tidak berlakunya pengusikan meter, tiada penalti akan dikenakan," katanya.

TNB juga mengingatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam kegiatan mencuri elektrik kerana ia merupakan satu jenayah dan tidak terpengaruh dengan pihak yang mendakwa mempunyai sokongan TNB bagi produk atau peralatan yang boleh mengganggu atau memanipulasi bacaan meter.

"Jika anda mengetahui atau mengesyaki sebarang aktiviti melibatkan kecurian elektrik, jangan teragak-agak untuk menghubungi TNB di talian hotline 1-300-88-5454," kata kenyataan itu. - BERNAMA


Sumber : mStar

No comments:

:: Blogger