Produk Taiwan dicemari DEHP
KUANTAN - Kementerian Kesihatan mengesahkan produk makanan Natural Beauty Fruit dan Vegetable Powder yang diimport dari Taiwan dicemari bahan kimia berbahaya Di (2-ethylhexyl) Phthalate (DEHP).
Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai (gambar kecil) berkata, pengesahan itu berdasarkan analisis yang dijalankan oleh kementerian ke atas dua produk makanan tersebut.
"Bagaimanapun, satu lagi produk iaitu Natural Beauty Drink Powder tidak dicemari DEHP dan sehubungan itu saya menasihatkan produk Natural Beauty Fruit dan Vegetable Powder dihentikan penjualannya serta-merta.
"Pengguna yang telah membeli produk makanan tersebut dinasihatkan tidak memakannya kerana dikhuatiri akan mendatangkan kesan sampingan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat MCA Bahagian Kuantan di sini semalam.
Semalam, akhbar melaporkan beberapa produk dari Taiwan dipercayai tercemar dengan bahan kimia DEHP termasuk produk keluaran Chuang's King Tai Chang Food. Co. Ltd., Taiwan yang diimport oleh Nguan Seng Sdn. Bhd. dan Natural Beauty Drink Powder serta Natural Beauty Fruit and Vegetable Powder keluaran Prince Pharmaceutical Co. Lt. yang diimport oleh Billion Synergy Sdn. Bhd.
Tambah Tiong Lai, hasil analisis tersebut mendapati produk Natural Beauty Drink Powder pula tidak mengandungi DEHP.
Beliau juga berkata, produk Chuang's Square Cookies berperisa gula perang, gandum, badam dan bijan keluaran Chuang's King Tai Chang Food tidak dicemari DEHP.
"Justeru, orang ramai tidak perlu bimbang kerana kementerian akan terus memantau makanan yang diimport dari negara tersebut," jelasnya.
Sebarang maklumat lanjut mengenai produk makanan Taiwan, boleh layari http://moh.gov.my atau http:/fsq.moh.gov.my.
Sumber : Kosmo
No comments:
Post a Comment