:: CUTE gift & GREAT souvenir, click here.. ::

29.6.11

Perjalanan Israk Mikraj dan kejadian yang berlaku

Telah disebut pada suatu ketika Nabi Muhammad S.A.W. sedang duduk di tepi Kaabah lalu datanglah malaikat Jibril A.S. dengan seekor Buraq untuk membawa Nabi Muhammad S.A.W. dalam peristiwa Israk Mikraj ini. Dari segi bahasa Buraq bererti kilat cahaya. Ia sejenis makhluk menyerupai haiwan. Saiznya besar sedikit dari khimar dan kecil sedikit dari baghal. Buraq dijadikan oleh Allah Taala dari cahaya. Ia boleh melangkah sejauh mata memandang.

Setelah itu berangkatlah Nabi Muhammad S.A.W. dengan ditemani oleh malaikat Jibril A.S. menuju ke Bait al-Maqdis dan baginda solat dua rakaat di situ dan menjadi imam kepada para nabi lain. Setelah selesai solat maka Nabi Muhammad S.A.W. telah dihidangkan dua bejana yang mengandungi dua jenis minuman iaitu satu bejana mengandungi susu dan satu bejana lagi mengandungi arak. Setelah itu Nabi Muhammad S.A.W. mengambil bejana yang mengandungi susu dan tindakan baginda memilih bejana mengandungi susu mendapat sanjungan dari Jibril A.S. kerana menepati fitrah manusia. Kemudian baginda dan Jibril A.S. meneruskan Mikraj ke langit pertama hingga ke tujuh.


KEJADIAN SEPANJANG ISRAK MIKRAJ
Di sini Allah Taala memperlihatkan pelbagai gambaran kejadian aneh dan pelik sebagai balasan dari Allah Taala kepada hamba-hambaNya mengikut apa sahaja perbuatan yang telah dilakukan. Di antara yang kejadian yang diperlihatkan kepada baginda sepanjang Israk dan Mikraj adalah:

Baginda melihat orang yang bercucuktanam mengeluarkan hasil yang banyak dan cepat.
- Inilah gambaran orang yang membelanjakan harta di jalan Allah Taala.

Baginda mencium bau yang amat wangi dari kubur Masyitah.
- Ceritanya: Sedang Masyitah menyikat rambut anak Firaun maka sikat yang digunakan itu terjatuh lalu Masyitah menyebut: Dengan nama Allah. Bertanyalah anak Firaun kepada Masitah tentang tuhan selain bapanya. Masyitah menjawab: Tuhanku dan tuhan bapa kamu adalah Allah. Anak Firaun memberitahu bapanya akan hal ini lalu Masyitah diugut oleh Firaun supaya kembali ke agama asalnya. Masyitah enggan dan tetap dengan pendiriannya. Lalu Firaun mencampakkan seorang demi seorang anaknya ke dalam air yang mendidih sehingga tiba giliran anak terakhirnya yang sedang disusui olehnya. Masyitah merasa sangat bimbang dan kesian akan anak kecilnya itu lalu Masyitah cuba melengah-lengahkan masa. Dengan kuasa Allah Taala maka bayi tersebut dapat berkata-kata lalu menyebut: Wahai ibuku! Sesungguhnya azab akhirat itu jauh lebih pedih dari azab dunia maka usahlah ibu menjauh-jauhkan diri kerana ibu di pihak yang benar. Lalu Masyitah melepaskan bayinya dan Firaun dengan segera mencampakkan bayi itu ke dalam didihan air. Masyitah berkata: Aku mempunyai permintaan iaitu supaya engkau (Firaun) mengumpulkan semua tulang dan menanamnya. Firaun berkata: Aku akan melakukannya. Lantas Firaun pun mencampakkan Masyitah ke dalam air didihan itu.

Baginda melihat sekumpulan manusia berpakaian compang-camping sambil memakan sampah-sarap serta rumput.
- Itulah gambaran golongan manusia yang enggan mengeluarkan zakat dan tidak bersedekah kerana sayangkan harta yang dimiliki.

Baginda melihat sekumpulan manusia yang mempunyai perut yang besar sehingga tidak terdaya lagi untuk bangun dan berdiri.
- Inilah gambaran manusia yang memakan hasil daripada perbuatan riba.

Baginda melihat sekumpulan manusia yang asyik memakan daging mentah dan busuk sedangkan di sisi mereka juga terdapat daging yang telah dimasak dan berkeadaan baik.
- Inilah gambaran manusia yang telah melakukan zina dalam hidup mereka sedangkan mereka sudah pun mempunyai isteri yang telah dikahwini secara sah.

Baginda turut melihat sekumpulan manusia yang sedang memecahkan kepalanya sendiri.
- Inilah gambaran manusia yang terlalu sibuk dengan hal-hal keduniaan sehingga lalai menunaikan kewajipan bersolat.

Baginda melihat sekumpulan manusia yang memotong lidahnya sendiri secara berterusan.
- Inilah gambaran manusia yang dalam hidup mereka suka menabur fitnah dan berbohong apabila berkata-kata.

Baginda melihat wanita menangis sambil meminta pertolongan tetapi tiada yang sanggup membantu.
- Inilah gambaran balasan wanita yang berhias bukan kerana suaminya.

Baginda melihat wanita tergantung pada rambutnya serta otaknya menggelegak dalam periuk.
- Inilah gambaran balasan wanita yang tidak menutup auratnya.

Baginda melihat wanita berkepala seperti babi dan badannya seperti kaldai dan menerima berbagai-bagai balasan.
- Inilah gambaran wanita yang suka membuat fitnah dan bermusuh dengan jiran dan membuat dusta.


No comments:

:: Blogger